Powered by Blogger.

Wednesday, April 25, 2012

Usah Had Masa Penyusuan..



SEPANJANG menyusukan anak, pengambilan makanan seimbang di kalangan ibu adalah penting bagi memastikan mereka dapat menyalurkan cukup zat dan khasiat kepada bayi bagi meningkatkan kekuatan tubuhnya selain membina daya ketahanan terhadap jangkitan penyakit.


Walaupun ada pelbagai pendapat untuk memperbanyakkan susu, namun sebenarnya tiada pemakanan khusus perlu diikuti golongan ibu yang menyusukan anak, tetapi mereka harus mengamalkan gaya hidup sihat dan mengambil makanan seimbang seperti disarankan piramid makanan. Pun begitu, mereka dinasihatkan supaya melebihkan pengambilan sayur berdaun hijau yang kaya dengan zat besi bagi memastikan tumbesaran sempurna kepada bayi.


Pakar laktasi, Che Aini Abdul Razak berkata, masih ramai ibu tidak mempunyai pengetahuan khusus mengenai pemakanan ketika menyusukan anak selain terikut-ikut sesetengah budaya yang mengehadkan pemakanan ibu mengandung termasuk mengelaskannya sebagai makanan ‘sejuk’ atau ‘panas’, sedangkan semua makan baik untuk mereka.


Beliau berkata, ada yang mengatakan pengambilan sesetengah jenis sayur-sayuran atau buah-buahan dapat memperbanyakkan susu badan, tetapi ia sebenarnya bergantung kepada keserasian dan kesesuaian tubuh seseorang itu.


“Ada yang mengatakan pengambilan lobak putih dapat memperbanyakkan susu, tetapi bagi masyarakat Cina pula, sayur itu dikelaskan sebagai makanan sejuk dan tidak boleh diambil ketika berpantang.


“Namun mengikut sesetengah orang pula, ada yang mengatakan makan betik muda dapat memperbanyakkan kandungan susu badan, tetapi ia sebenarnya tidak tertakluk pada jenis makanan semata-mata.


“Satu perkara penting yang perlu difahami ialah keadaan setiap orang tidak sama. Sesuatu makanan sesuai untuk seseorang itu tidak semestinya sesuai juga untuk orang lain. Maka keadaan itu (peningkatan jumlah susu badan) bukan sebab jenis makanan, tetapi keserasiannya dengan tubuh seseorang,” katanya ketika dihubungi.


Beliau yang pernah bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu berkata, pengambilan sayur berdaun hijau yang kaya dengan zat besi memberi kesan baik kepada penghasilan susu ibu.


Katanya, keberkesanan pucuk pegaga yang kaya dengan zat besi dalam memperbanyakkan susu ibu terbukti melalui kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi). Justeru, janganlah dipandang sepi ulam yang biasanya tumbuh melata di halaman rumah ini kerana khasiat dan kebaikannya sudah terbukti.


“Sayur kacang merunggai yang sering digunakan dalam masakan dal oleh masyarakat India, sayuran ulam raja dan ulam-ulaman kampung juga didapati mempunyai khasiat secara langsung kepada penghasilan susu yang banyak.


“Apa yang penting, ibu menyusu perlu mengamalkan pemakanan seimbang dan berkhasiat selain minum banyak air bagi membantu menghasilkan susu. Memang ada pendapat yang melarang wanita minum banyak air terutama ketika berpantang, tetapi kepercayaan turun temurun ini bukanlah nasihat yang baik kerana kekurangan air akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan lain,” katanya.


Namun menurut Che Aini, pemakanan seimbang semata-mata tidak akan dapat membantu memperbanyakkan susu ibu sekiranya ibu tidak kerap menyusukan anak mereka secara terus daripada payu dara.


Katanya yang mempunyai pengalaman selama 18 tahun dalam bidang laktasi, bagi menjayakan penyusuan secara eksklusif selama enam bulan seperti disarankan pengamal perubatan di seluruh dunia, ibu perlu menyusukan bayi mereka dengan kerap mengikut keperluan anak.


“Sekiranya ibu tidak memberi susu secara terus kepada anak sebaliknya lebih kerap mengepam, walaupun ibu mengepam dengan kerap (setiap dua tiga jam), namun kandungan susu ibu secara beransur-ansur akan berkurangan dan akhirnya kering kerana tidak menerima rangsangan daripada bayi.


“Ini kerana rangsangan terbaik bagi memperbanyakkan susu ibu adalah apabila bayi menghisap susu badan. Perbuatan bayi menghisap susu itu akan menghantar isyarat ke otak si ibu supaya ‘memberitahu’ badan untuk menghasilkan susu baru.


“Mengepam tidak sama dengan memberi susu terus kepada bayi. Bagaimanapun tidak dinafikan kepentingan untuk mengepam susu terutama dalam beberapa keadaan seperti apabila ibu bekerja dan bayi tiada di sisi, payu dara luka atau ada masalah lain yang tidak memungkinkan penyusuan terus.


“Kadang kala ada anak yang mengalami masalah sumbing (bibir atau lelangit) yang menyebabkan tidak wujud keadaan vakum di kawasan mulut hingga menghalang penyusuan secara terus. Maka dalam keadaan begini, susu ibu perlu dipam dan diberi kepada bayi,” katanya.


Selain itu, seseorang ibu tidak perlu mengehadkan masa penyusuan kerana si kecil akan berhenti menyusu apabila dia kenyang. Ia juga akan membolehkan bayi anda mendapat susu akhir yang pekat dan mengenyangkan.


Ibu juga tidak perlu memberi air kepada bayi terutama dalam tempoh enam bulan pertama selepas kelahiran kerana susu yang keluar pada awal sesi penyusuan 89 peratus adalah air yang mengandungi banyak laktosa.


“Apabila bayi dahaga, ibu boleh memberikan susu awal bagi menghilangkan dahaganya dan tidak perlu mencampurkan air kerana susu ibu sudah cukup untuk anak mereka,” katanya.


Bagi ibu yang bimbang dan tertanya-tanya sama ada anaknya sudah mendapat susu akhir yang mengenyangkan, Che Aini berkata, selepas bayinya melepaskan hisapan, ibu boleh mencuba dengan memicit sedikit payudara.


Sekiranya susu yang keluar pekat, maka itulah susu akhir dan ia menunjukkan bayi sudah mendapatnya. Susu akhir ini akan membuatkan bayi kenyang lebih lama selain membantu tumbesaran yang sempurna.

Bagi ibu yang mempunyai sebarang keraguan mengenai penyusuan ibu, bolehlah ajukan soalan kepada doktor anda atau melayari pelbagai laman web dan blog di Internet bagi mendapatkan pelbagai maklumat selain menyertai komuniti yang menyokong penyusuan susu ibu.





Panduan memperbanyakkan susu badan

Hanya beri susu ibu walaupun bayi dahaga, tidak mencampurkannya dengan air.

Tidak mengehadkan tempoh penyusuan, sebaliknya biarkan bayi melepaskannya sendiri.

Mengamalkan pemakanan seimbang dan memperbanyakkan pengambilan sayuran hijau.

Sayuran seperti ulam kampung, pucuk pegaga dan kacang merunggai didapati mampu membantu memperbanyakkan susu memandangkan kandungan zat besinya yang tinggi.

Susukan bayi secara kerap.

Jika bayi masih tidur apabila tiba waktu menyusu, gerakkan untuk diberi susu mengikut tempoh ditetapkan. 

Beri susu mengikut keperluan bayi.

Mengepam mengikut keperluan bila bayi tiada di sisi.

Jangan mencampurkan susu formula atau memberi air kepada bayi sepanjang tempoh penyusuan secara eksklusif.


Nota kaki~ copy n paste dari harian metro.. gamba tu je kepunyaan sendiri.. =D


10 juta comments on "Usah Had Masa Penyusuan.."

Najwa.H on April 25, 2012 5:13 PM said...

knajwa tengah kursus breastfeeding lagi ni...3 hari. sikit sebanyak,apa yg ada kat harian metro, semua tu ada dibincangkan dalam kursus. (sambil menguap juga...ehehhe)

Hida Kadiso on April 25, 2012 6:39 PM said...

wahh.. sonoknye.. skang ni kite mmg suke denga pasal bf.. nnt boleh la share ye..

Anonymous said...

org tua2 kata mkn pucuk betik dicelur pun bagus utk tambahkan susu badan..pahit tuuu...errkkk...nyway, info kat entry ni bagus..kredit tuk kamu.

Hida Kadiso on April 25, 2012 11:12 PM said...

ini kopi pes dari metro je kak.. =D

Shima Shafii on April 26, 2012 8:58 AM said...

agreed pasal lobak putih tu
mmg sejuk, jd aku mmg x amk ms pantang

milk booster mmg bbeza bg seseorg
mcm aku kopi susu. tp pinar le mata ngn kepala asek melantak kopi aje.

byknye stok susu kamu...bg la ketika bw hasna bjln, pstu pam lg, supaya susu dlm fridge silih bgnti
idakle mbazir tbuang mcm ituari..

Nini D.. on April 26, 2012 9:43 AM said...

bagus info nih!

neyza mokhtar on April 26, 2012 10:46 AM said...

Alhamdulillah..byknyer rezeki hasnaa..aku nk jadikan ko idola la.hihihi..

Unknown on April 26, 2012 10:54 AM said...

banyaknyer stokk susu..sy pon berharap 2nd baby nnt leh bg BF..dh mcm eskrim dh tu..nnt silap2 ade yg rembat buat makan gitu je..

shahrilhakime on April 26, 2012 11:45 AM said...

tapi kekadang kan cik eda_ej...
macam kes mem awok..... die nak nyusukan lgi anak2.... tapi deme asei masok je umor setahun ato lebih...teghoih takmo menyusu..... frust mem awok......

Hida Kadiso on April 27, 2012 5:19 PM said...

Mama ArinArishArdini ~ aku mase harith dulu banyak gak kalo mkn lobak puteh.. tp yang kali ni dah tak mau.. dah imun kot..

itu stok susu mase dalam pantang.. dah tak de dah.. wat mase ni belom wat stok lagi..


Nini D.. ~ tu le.. sangat bagus.. tapi ko lagi bagus sebab dapat bf afif lame.. tak macam aku..


neyza mokhtar ~ aku tak bagus mane pon.. tapi kalo ko nak ikot mende yang baik tak pe la.. aku pon dapat pahale juge.. =D

Nens Collection ~ hehehhe.. jangan tak caye, memang dah ade yang telan susu dalam bekas eskrem tu.. hehehhe..


D_08 ~ tak pe la yeop.. sekurang2nye mem kamu udah berusaha.. tak macam org lain yang ade susu tp saje tak mo bagi kat anak.. mungkin udah takat tu aje kot yang dah tetuleh.. soh mem kamu sabo ye..

 

Once Upon A Time Copyright 2008 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipiet | All Image Presented by Tadpole's Notez